Sunday, January 29, 2012

2012




Jalannya masih kabur.

Alhamdulillah. Tahun masihi sudah memasuki hari ke-29 dalam kiraan 2012 ini. Banyak perkara yang telah berlaku, akan berlaku. Semuanya menuntut akal yang waras untuk menghadapinya berbekalkan iman yang sememangnya perlu untuk utuh. Seutuhnya.

Tahun 2012 ini, usia bertambah lagi (dengan kata lain, Allah dengan bermurah hati 'meminjamkan' setahun lagi umur kepada kita. Alhamdulillah). Tahun ini, usia saya menginjak ke angka 27. 27 tahun menurut mak, cukup 'ranum' sebagai seorang manusia. Beerti, banyak juga tanggungjawab yang perlu dipikul dan diselesaikan dengan bijaksana. Cabaran yang maha hebat.

Saat hari berganjak ke tahun berikutnya, sudah pasti setiap umat manusia juga akan berganjak bersama dengan azam dan impian yang baru. Oh ! Saya baru tersedar, entri kali ini sepatutnya saya coretkan saat menyambut tahun baru yang lalu. Alahai. Hihi..

Saya juga tidak terkecuali daripada memasang impian dan azam. Sekadar peringatan kepada diri sendiri dan yang lainnya, dalam usaha mencapai azam dan impian baru tersebut, banyak perkara yang perlu ditimbang-tara. Saya bercita-cita untuk menjadi lebih penyabar dan panjang akal. Bunyinya begitu tipikal dan ironi. Namun, sebagai 'Azizah', saya merasakan bahawa kedua hal ini adalah sangat penting apalagi bagi anak bongsu seperti saya. Pada usia 27 tahun ini, beerti saya tidak seharusnya lagi bergantung harap pada mak dan bapak dalam banyak hal, sebaliknya saya harus menjadi 'pemudahcara' mereka. Membuntuti mak dan bapak dalam semua hal akan menyebabkan akal tiada ke mana. Itu apa yang saya rasakan. Peribadi.

InsyaAllah, saya akan berusaha sedayanya untuk memupuk sifat yang berkenaan dan doa saya semoga diberkahiNya. Amin.

Siapa?

Soalan yang selalu sahaja ditanyakan mak kepada saya sejak kebelakangan ini ialah "kawan dengan sapa la ni?". "tak mau kawen ka?".

Aduh ! mak.

Jadi bungkam saya. haha.. Logiknya, ibu mana yang tiada risau di hati melihat anak gadisnya pada usia begini masih solo! haha.. Kata saya berseloroh dengan mak, "jodoh saya mungkin masih di langit ketujuh mak, jauh lagi perjalanannya". Didoakan saja kesejahteraan dia, InsyaAllah.
Berbicara soal jodoh membuatkan saya 'mati kutu' untuk menyambung ayat. Saya lihat, jalannya cukup kelam, sementara ini. Namun, satu yang saya yakin, harinya belum tiba, Dia tahu yang saya seorang hamba yang belum siap bertemu pemilik rusuk kiri saya. Jadi, disimpanNya dahulu sehingga suatu masa yang sesuai. InsyaAllah.Mudah-mudahan.

**Saya sedang meyakinkan diri untuk sebetulnya utuh dan kental dalam usaha saya menggapai azam dan impian di masihi baru ini. Amin. Berusaha ! Berusaha !

Tuesday, January 17, 2012

Cita-cita

'Welcome Note' daripada salah seorang rakan sekerja yang baru.


Hari ini hari ke tujuh dalam Januari . Alhamdulillah. Ini merupakan kerja ke-3 dalam tahun pertama saya bekerja ! Subhanallah. Kisah saya di sini bermula dengan cara yang unik. Saya kira ini sebagai salah satu rahmat dan peringatan dari Allah.

Kisahnya bermula, suatu hari, ketika saya masih di kolej lama. Dalam perjalanan pulang, saya mendapat satu panggilan telefon. Saya di dalam tren waktu itu. Saya mendapat panggilan dari Kolej Universiti INSANIAH. Alhamdulillah. Saya sangat-sangat gembira. Seingat saya, saya memohon jawatan pensyarah di sana pada penghujung tahun 2009 dan hanya mendapatkan panggilan temuduga 2 tahun kemudian. Lama dan lambat tapi itulah cara Allah memujuk saya.

Dengan keadaan kesihatan bapak yang tidak begitu menggalakkan waktu itu, saya dengan bersemangat terus ke Kedah. Meyiapkan diri dengan segala yang difikirkan perlu. Dengan galakkan dan bantuan mak dan bapak, saya  cuba melakukan dengan terbaik juga. Tapi Allah itu maha adil lagi maha mengetahui. Mungkin belum rezeki saya. Saya tidak berjaya dalam temuduga tersebut (saya kira) berdasarkan keadaan yang terjadi waktu itu (elok rasanya saya simpan, khuatir menjadi fitnah).

Saya pulang ke Kuala Lumpur dengan hati terluka dan kecewa dan saat itulah saya mendapat panggilan kali ke-2 daripada seorang HR Practitioner yang begitu mahukan saya untuk hadir dalam satu lagi temuduga di salah sebuah kolej swasta di sekitar Petaling Jaya. Temuduga tersebut sepatutnya berlangsung pada hari Jumaat, tetapi dek kerana ‘kekecewaan’ yang dialami, saya tersalah hari. Saya ke sana pada hari Khamis ! Allahhurabbi.

Saya bertuah kerana Pengarah Akademik kolej berkenaan dengan terbuka bersetuju untuk menemuduga saya pada hari tersebut, dan saya tiba waktu itu pada jam 6.30 pagi ! Bukti nyata yang fikiran saya sangat kusut waktu itu. Tiada satu persediaan yang saya lakukan. Tidak membaca walau sebaris sejarah kolej dan sebagainya. Tumpuan saya hanya terarah kepada temuduga sebelumnya. Oh, temuduga di kolej swasta ini saya dapatkan sehari sebelum temuduga saya di INSANIAH.

Saya pada mulanya sedikit ragu dengan ‘keadaan’ kolej berkenaan. Namun setelah bertemu dengan Pengarah  Akademiknya, saya sedikit yakin untuk ‘meneruskan’ perjalanan karier sebagai pendidik di sana.

Alhamdulillah. Saya berjaya dalam temuduga tersebut.

Saya bakal mengajar matapelajaran yang pernah saya ajarkan sebelum ini. Seperti sesak nafas dan diberikan bantuan oksigen. Lega !

Dalam hari ke-7 ini, saya masih lagi mencari  pace (dengan izin) untuk sama-sama sebagai sebahagian warga di sini. Keadaan seakan terlalu sukar apabila wujud segolongan manusia yang gah dengan sijil dan pangkat yang dimiliki. Saya amat berharap sangkaan saya adalah salah.

Guide me Allah !

**Saya kelu untuk meneruskan ayat seterusnya. Hingga ke waktu seterusnya.

Sunday, January 01, 2012

Tahun baru dan isu lama.


Setiap halangan yang muncul, walau pada keadaan yang begitu genting, ianya pasti suatu pengajaran. Ambillah dengan hati terbuka. Foto oleh: National Geography.

Saya menyambut tahun baru 2012 di Az-Zahrah. 'Kebiasaan' ini saya jalani setiap bulan dan bulan ini juga tidak ketinggalan. Bezanya, saya jalani 'kebiasaan' ini diambang tahun baru.Saya percaya ada hikmah bagi setiap sesuatunya. Ini perihal sambutan tahun baru saya.

Lain pula dengan 'kebiasaan' baru yang satu ini. Kebelakangan ini, ada semacam suatu corak yang menjadi kebiasaan (bahkan sebenarnya sudah menjadi kesukaan dan amalan) para mahasiswa di negara kita. Demonstrasi!

Demonstrasi menurut kamus Dewan Edisi Empat bermaksud: 

(démonstrasi) 1. penerangan, pera­ga­an, dll tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran, dll; 2. tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dll: para pelajar membuat kacau dan meng­adakan ~; berdemonstrasi menunjuk perasaan (ke­rana memprotes dll); mendemonstrasikan menunjukkan serta menerangkan cara menggunakan sesuatu (spt mesin, alat solek, dll) atau cara-cara melaku­kan sesuatu; pendemonstrasian proses atau perbuatan mendemonstrasikan sesuatu: ~ itu memang mustahil dilakukan pd waktu ini.

Dalam kamus sahaja, contoh demonstrasi oleh mahasiswa diberikan. Saya melihat situasi ini dari sudut pandang seorang pendidik. Agak terkilan, saya rasakan, apabila melihat anak didik bertindak sedemikian rupa. Saya tetap merasakan bahawa ilmu perlu ada walau dalam apa jua perkara yang kita lakukan termasuklah DEMONSTRASI !

Saya terpanggil untuk menjawab satu kenyataan daripada seorang mahasiswa berhubung perkara ini. Katanya: 

"kalau nk soh abes blaja dlu, baru leh berpolitik, mmg smpai mati la kita xleh berpolitik.. kan kata-kata daripada ulama salaf: Tuntutlah ilmu dari semenjak buaian hingga ke liang lahad. Haaa cer jawab :))"
         (Saya petik dari laman Facebook beliau)

Saya menjawab:
"saya menjawab sebagai seorang pendidik: boleh saja. dengan syarat; bersama ILMU dan AKAL yang waras, bersama dialasi IMAN. Bila belajar,tujuan utama nak mendapatkan ilmu supaya ILMU DAPAT MEMIMPIN KITA, BUKAN KITA YANG MEMIMPIN ILMU."
Saya cukup yakin dengan kemampuan ilmu. Carilah ilmu kerana ilmu tidak akan pernah menipu kita. Tidak sesekali. Ilmulah yang akan membimbing kita. Ingin sekali saya sampaikan pada mahasiswa yang berdemonstrasi di luar sana bahawa alangkah baik andai mereka memperdalamkan ilmu mereka sebelum melangkah kaki keluar untuk hidup dalam dunia sebenar. Perdalamkan ilmu dengan sebenar-benarnya. Belajar selok-belok ilmu dengan sebetulnya. Kelak, sudah tamat belajar, keluarlah sebagai graduan yang tidak hanya berguna kepada diri sendiri, keluarga dan negara tetapi juga kepada agama. Jangan kerana 'ilmu' yang ada, kita merosakkan semua ! Jika dirasakan ada salah pada keadaan sekarang ini, sebagai graduan berilmu, itu menjadi tugas mereka untuk membetulkannya dengan ILMU yang dimiliki, AKAL yang sihat dan waras untuk berfikir dan IMAN yang kental bagi melandasi dan CARA yang sebenar yang tidak hanya berkesan tetapi juga terkesan !

Saya cukup khuatir melihat anak didik yang telah jauh dalam 'indahnya duania demonstrasi' ini. Saya mendoakan yang terbaik buat mereka dan semoga menjadi insan yang tidak hanya berguna kepada keluarga dan negara, tetapi juga kepada agama. Amin.

**APABILA KITA BELAJAR, TUJUAN UTAMA ADALAH UNTUK MENDAPATKAN ILMU AGAR ILMU BISA MEMIMPIN KITA, BUKAN KITA YANG MEMIMPIN ILMU !

Monday, December 12, 2011

Membaca dengan jiwa tentang maknya cinta.

 
Antara suka-sayang-cinta, manusia sukar mengertikan. Yang selalu menjadi pilihan mereka;menerka dengan roh yang tiada berjiwa.Andai dia,si marhaen hina,menyukaimu,tidak bererti dia menyayangimu. Andai dia menyayangimu, belum pasti dia menyintaimu,sebaliknya nyata sudah dia menyukaimu. Dan andai dia menyintaimu,pastilah di situ, dia menyukai dan menyayangimu dan kerana itulah dia menyintaimu. Suka tidak bererti sayang dan sayang tidak bermaksud cinta.Tetapi cinta,nyatalah di dalamnya ada sayang dan ada suka.Semuanya tergantung pada ilmu dan pastinya iman di dada. Bacalah dengan ilmu, dilandasi iman dan bertiangkan akidah.Usahlah terlalu menghina hanya kerana disukai. Janganlah terlalu membenci hanya kerana disayangi. Tiadalah perlu mencaci hanya kerana dicintai. Selasih jangan tinggi,Kalau tinggi berdaun jangan;Kekasih jangan pergi,Kalau pergi bertahun jangan.
**Aku mohon agar kau membaca dengan hatimu, bukan dengan amarahmu..!

Thursday, November 24, 2011

Dalam Benua Gila.





Membaca tulisan A.K membuatkan saya berfikir akan kejadian yang berlaku dalam kehidupan seharian. Ada benarnya setiap yang ditulis oleh A.K.

Saya kira saya masih belum cukup redha dengan apa yang digariskan untuk saya.

"...Ya Allah, berikanlah aku takdir yang baik untukku Seandainya engkau memberiku takdir yang buruk, kuatkanlah hatiku untuk menerima dan menjalaninya. Seandainya Engkau memberiku takdir yang baik, buatlah aku selalu bersyukur akan nikmatMu.."

Monday, November 21, 2011

Di hujung Zulhijjah1432/2011




Perjalanan menuju destinasi itu ternyata cukup mencabar. Cukup berliku dan sarat dengan ujian yang maha menduga iman dan kesabaran. Di hujung Zulhijjah 1432H, Tuhan mendidik lagi dengan bermacam perkara. Satu persatu ‘diajarkan’. Zulhijjah 1432H ini juga bercerita tentang kembara jiwa. Saya melihat Zulhijjah 1432 sebagai titik mula; semula, untuk ke destinasi utama yang kedua selepas ‘di sana’.

Menjadi seorang yang penuh misteri bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak perkara perlu ditimbang dan diperhalusi. Penat berjalan, berhenti duduk, bangun semula, berlari anak lalu tersungkur dan mengerang kesakitan; sekali lagi bangun. Hanya pada bingkas bangun ke berapa puluh sahaja, baru saya mula ‘melihat dunia’.

“…Ya Allah, aku bertanya-tanya kerana aku bingung. Ya Allah, aku bertanya-tanya kerana aku tidak tahu. Maafkanlah kebingungan dan kebodohanku ini, Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Pengasih. Berilah ketenangan pada fikiranku. Berikanlah ketenangan pada hatiku agar aku menerima cubaanMu ini dengan lapang dada….”

** Galau.

Sunday, September 25, 2011

Cinta

Assalam.

25 September 2011, 23 Syawal 1432 H.

Menulis tentang cinta.


SubhanaAllah. Saat ini sungguh saya amat perlukan pelukan-Mu. Terasa begitu keseorangan dan hilang arah.


Malam ini, sekali lagi, saya dijentik oleh Allah. Universiti Ramadhan yang lalu sangat-sangat mendidik saya. Pengajaran dan ilmu yang diperolehi sangat merubah hati dan kepercayaan saya. Saya belajar dan mula melihat cinta-Nya dari kaca mata seorang hamba yang dahagakan cinta Tuhannya. Saya mula belajar dan menerima serta percaya bahawa betapa kuat cinta Tuhan kepada hambanya sekalipun hambanya selalu lupa akanNya.

Malam ini jentikkanNya begitu menyentuh saya. UjianNya adalah tanda kasih. UjianNya adalah tanda cinta. UjianNya adalah tanda rindu pada hambaNya.

Saya selalu melihat kekurangan diri sebagai kelemahan tanpa sekalipun saya memandangnya sebagai kelebihan yang tiada pada yang lainnya. Saya sering melihat kelebihan yang lain sebagai penghinaan buat saya. Pada mata saya, saya lemah dan kurang segalanya. SubhanaAllah.

16 Mei 2011, saya 'dijentik' dengan sedikit ujian, yang hingga kini masih berlingkar di sekitar saya. Allah mahu saya kembali. Itu pasti!

***

Saya mahu menulis akan peri indahnya Ramadhan saya tahun ini. Betapa Dia sesungguhnya memegang saya dengan tali cintaNya. Bagaimana setiap kali pulang dari kerja, Dia akan dengan murah hatinya menghadiahkan saya pahala percuma. Allahhuakbar! Betapa beruntungnya saya menyambut ulang tahun kelahiran dalam bulan rahmatnya. Ya Tuhan, perasaannya sangat asyik. Terima kasih ya Allah.

***

Saya juga mahu menulis tentang perasaan saya kehilangan cinta manusia yang saya tangisi sekian lama. Terasa kosong dan tidak berguna berbanding sahabat terdekat yang lain. Betapa saya tidak menyerahkan sepenuhnya kepada Dia tentang soal cinta manusia. Saya sungguh terleka. 

Tapi malam ini, sungguh saya dijentik olehNya. Saya kira, Dia mahu segera melihat saya bangun semula. Terjelepok jatuh di mata manusia tidak beerti jatuh di sisiNya. Saya mahu bangun kembali. Biarlah Dia sahaja yang bersama saya. Selebihnya saya serahkan kepadaNya. Memang Dialah perunding dan perancang yang paling hebat.

***

Malam ini saya menulis dengan air mata dan semoga air mata ini menjadi titik peringatan buat saya. InsyaAllah, semoga saya diberikan kekuatan buat saya berkongsi betapa indahnya 'universiti Ramadhan' saya tahun ini. InsyaAllah.

**Ya Khaliq, aku akan berusaha sedayanya  untuk ikhlas dengan ujianmu ini Ya Khaliq. Kekuatan dariMu aku butuh saat ini. Mohonku ya Allah.